24 February 2015

Anwar masih MP hingga pengampunan dibuat

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim masih Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga keputusan petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu kepada Yang di-Pertuan Agong, diputuskan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen tidak akan terlucut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan terhadap petisyen pengampunan itu.


"Statusnya (Anwar) sebagai ahli Parlimen akan terjawab selepas lembaga pengampunan membuat keputusannya. Setakat ini kelayakannya sebagai ahli Parlimen tidak akan terlucut," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong akan mempengerusikan prosiding pengampunan itu dengan dinasihati oleh anggota lembaga pengampunan terdiri daripada empat atau lima orang termasuk Peguam Negara.

Peguam, Amer Hamzah Arshad berkata Anwar masih lagi ahli Parlimen dan ia jelas termaktub dalam Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas. 

Beliau menjelaskan "belum mendapat pengampunan bebas" bermakna, Anwar masih ahli Parlimen sehingga keputusan petisyen pengampunannya diputuskan.

Peguam kanan, Datuk Hazman Ahmad yang banyak mengendalikan kes jenayah pula berkata keputusan sesuatu petisyen pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong biasanya akan mengambil masa dan ia berdasarkan kepada fakta kes masing-masing.

Beliau berkata, tiada had masa ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang untuk Yang di-Pertuan Agong mendengar dan memutuskan petisyen yang dikemukakan kerana ia merupakan budi bicara dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Ada mengambil masa sehingga tiga tahun, terpulang kepada kes masing-masing. Ada kes melibatkan hukuman gantung mengambil masa sehingga lima tahun untuk diputuskan," katanya.

Menjelaskan prosiding pengampunan itu, Hazman berkata tertuduh tidak perlu hadir untuk mendengar petisyen itu seperti di mahkamah kerana Yang di-Pertuan Agong akan bersidang bersama anggota lembaga pengampunan sahaja.

Selepas itu baharulah keputusan dibuat atas nasihat anggota lembaga pengampunan itu, katanya.

Hari ini, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, serta anak-anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak ketua pembangkang itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008. - Bernama

No comments:

Post a Comment