24 October 2009

Peragut dibelasah orang ramai guna kayu, paip

KOTA BHARU: Dua peragut termasuk seorang yang berkopiah, bernasib malang apabila masing-masing cedera parah dibelasah orang ramai bersenjatakan kayu dan paip yang berang, selepas mereka meragut beg tangan seorang guru dekat Pintu Geng di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Kampung Kota, itu, seorang daripada lelaki terbabit mulanya meragut beg tangan guru wanita yang sedang menunggu pesanan di gerai makan milik peniaga, Karimah Mohamad, 42.

Sejurus meragut beg tangan guru berkenaan, lelaki terbabit melarikan diri dengan membonceng motosikal ditunggang rakannya yang sedia menunggu secara berselindung di belakang sebuah kenderaan yang berada berdekatan.

Guru wanita terbabit yang terpinga-pinga dengan kejadian itu, hanya mampu menjerit meminta tolong kepada orang ramai yang berasa di sekitar kawasan berkenaan.

Karimah berkata, menyedari jeritan pelanggannya itu, beliau turut bergegas keluar turut menjerit meminta bantuan orang ramai mengejar dua peragut yang cuba melarikan diri dengan motosikal itu.

Seorang pemandu kereta berusia 40-an yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mengetahui kejadian itu, bertindak mengejar motosikal dinaiki dua peragut terbabit sebelum menghimpit mereka hingga hilang kawalan sebelum terjatuh ke kawasan cerun di tepi laluan itu.

Pemandu yang enggan namanya disiarkan itu, berkata ketika turun menahan dua lelaki itu, seorang daripadanya mengeluarkan sebilah pisau, manakala seorang lagi cuba mendapatkan motosikal untuk terus melarikan diri.

"Melihat keadaan yang genting itu, orang ramai yang menyedari kejadian terbabit bergegas tampil membantu sambil membawa bersama menggunakan kayu dan batang paip sebelum bergelut dengan dua peragut berkenaan.

"Berikutan pergelutan yang berlaku, dua peragut terbabit cedera parah akibat terkena pukulan daripada orang ramai yang berang terhadap perbuatan mereka," katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment