11 October 2009

Kehadiran 'Bobby' curi tumpuan pengundi di Bagan Pinang

PORT DICKSON: Neo Chin Teck, 55, bukanlah mana-mana calon pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang namun kehadirannya di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Telok Kemang menarik perhatian ramai.Ini kerana kedatangan anak jati Teluk Kemang itu untuk menunaikan tanggungjawab mengundi turut ditemani "Bobby", seekor anak monyet peliharaannya yang dipakaikan lampin pakai buang.

"Bobby saya baru bela tiga bulan, saya jumpa di kedai buah kawan saya dekat sini, masa tu Bobby berdarah...cedera kena gigit anjing, jadi saya ambil pelihara," katanya yang ditemui Bernama di pusat pengundian itu.

Chin Teck antara 9,060 pemilih yang mengundi pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang hari ini.

Sambil monyetnya merengek seperti anak kecil di bahu kanannya, Chin Teck berkata ini kali pertama beliau membawa Bobby bersamanya ketika keluar mengundi.

"Sebelum ini saya ada tiga ekor monyet, tapi tak pernah bawa tempat mengundi, Bobby sangat jinak, memang selalu ikut saya pergi ke mana saja dan saya rasa tak ada masalah," katanya yang berharap monyetnya turut dibenarkan masuk "mengundi" bersamanya.

Malah gelagat Chin Teck dan "Bobby" turut mencuit hati Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang turut berada di situ dan sempat bergambar bersama "bintang segera" itu. Namun usaha Chin Teck yang mahu Bobby menemaninya mengundi tidak kesampaian.

"Dia orang tak kasi saya bawa masuk, jadi saya ikat Bobby dekat tiang pagar sekolah", katanya.

Selesai mengundi, Chin Teck dan Bobby terus beredar dan sempat tersenyum kepada orang ramai sambil melambai-lambaikan tangan seperti gelagat calon pilihan raya kecil itu dengan menaiki motosikal "kapcai"nya. Pilihan raya kecil DUN itu menyaksikan calon Barisan nasional (BN) Tan Sri Isa Samad ditentang Zulkefly Omar dari PAS. BERNAMA

No comments:

Post a Comment