26 August 2008

Tidak dapat mengundi kerana SPR buang dalam senarai alasan mereka sudah meninggal dunia

Pemilih hidup dilapor mati, hilang peluang undi di Permatang Pauh

PERMATANG PAUH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan dua pemilih yang masih hidup tetapi dilaporkan mati, sekali gus tercicir daripada senarai daftar pemilih yang digunakan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Kedua-dua pemilih berkenaan, wanita, telah mengundi dalam pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu.

Bagaimanapun nama mereka tercicir daripada senarai daftar pemilih yang digunakan hari ini.

"Masalah ini wujud disebabkan kami menggunakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Jika maklumat (pangkalan data JPN) mengatakan seseorang itu sudah meninggal dunia, kami bergantung pada maklumat tersebut dan nama pemilih berkenaan dikeluarkan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada mStar Online.

Hanya dua kes seumpama itu dikesan hari ini.

Jelas beliau, kedua-dua individu berkenaan tidak dibenarkan mengundi berdasarkan kedudukan mereka yang bukan lagi merupakan pemilih yang sah.

"Kedua-dua mereka faham tentang masalah ini dan kedudukan mereka sebagai pemilih akan dikembalikan selepas ini," kata beliau.

Kedua-dua pengundi berkenaan telah membuat aduan kepada Pengurus Pilihan Raya di Pusat Penjumlahan Undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Semalam Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai kehilangan sebanyak 944 nama pengundi daripada daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Kata Kamaruzaman, SPR akan menyiasat mengenai dakwaan itu daripada bahagian maklumat komputernya sebelum membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.

"Maklumat (PKR) itu mungkin tidak tepat, walaubagaimanapun saya akan tetap memeriksa dengan 'computer group' SPR tentang data tersebut," katanya.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh hari ini mengguna pakai Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Julai dan dikemas kini pada 31 Julai lalu.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment