26 August 2008

Anwar ke Parlimen 'seawal hari esok'

Walaupun berdepan kemungkinan tidak akan mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan ke Parlimen esok selepas menang kerusi Permatang Pauh malam ini.

"Insya Allah, seandainya diizinkan dan jika tiada aral, saya akan melangkah masuk ke Parlimen seawal hari esok dengan menggalas harapan rakyat keseluruhannya," katanya di blognya sewaktu menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil tersebut.

"Saya ucap terima kasih atas kesudian dan kepercayaan rakyat di Permatang Pauh yang memberikan undi kepada saya.

"Di sebalik pelbagai bentuk intimidasi yang dilaksanakan oleh Umno-BN, keberanian rakyat untuk menerobos halangan ini sangat dihargai."

Keputusan rasmi Anwar (foto, paling kanan) mendapat majoriti besar sebanyak 15,671 undi diketahui kira-kira 9.45 malam di pusat penjumlahan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tidak lama kemudian.

Penasihat PKR mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Majoriti undi PKR kali ini lebih tinggi daripada yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya umum Mac lepas.

Kira-kira 81.1 peratus daripada 58,49 pemilih di Permatang Pauh keluar mengundi hari ini.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment