28 March 2008

Malang Shahidan, Malang Lagi Idris

Lihat video - MT UMNO Tolak Idris

MT UMNO terima Ahmad Said

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu berakhir hari ini apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu melantik Datuk Ahmad Said memegang jawatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat berasaskan usaha untuk mencari penyelesaian secepat mungkin dan kesediaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menerima siapa sahaja yang dilantik oleh MPPR.

‘‘Maka dengan itu MT membuat keputusan sebaik-baik penyelesaian bagi membolehkan kerajaan ditubuhkan ialah BN perlu memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR,’’ katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan oleh BN itu, mereka yakin kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Ahmad akan dapat ditubuhkan.

Mengenai reaksi 22 ADUN yang menyokong Idris, Abdullah berkata, beliau percaya kesemua mereka yang merupakan ahli UMNO taat setia kepada parti dan akan menerima keputusan tersebut.

Ditanya tidakkah keputusan menerima Ahmad boleh menjatuhkan air muka beliau yang sebelum ini mempertahankan Idris, Abdullah berkata: ‘‘Perkara itu tidak timbul.’’

‘‘Ini kerana saya menyedari bahawa MPPR telah membuat keputusan, itulah orang yang mereka hendak menjadi Menteri Besar.

‘‘Saya memahami (kedudukan itu) apabila perkara ini ditimbulkan dalam pertemuan dengan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

‘‘Walaupun Seri Paduka tidak ada ‘bahagian’ dalam soal ini kerana ia keputusan MPPR tetapi saya memahami kehendak majlis itu,’’ katanya.

Abdullah yang ditanya bertalu-talu berhubung isu Menteri Besar Terengganu tersebut, turut menegaskan, apabila BN dan UMNO memberi sokongan, Ahmad sebagai Menteri Besar akan melakukan tindakan lanjut bagi menubuhkan kerajaan.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pelantikan Ahmad oleh MPPR adalah mengikut perlembagaan negeri Terengganu, oleh itu ia tidak dibincangkan sama ada melanggar perlembagaan atau tidak.

‘‘Apa yang penting bagi kita ialah sudah dua minggu BN mencapai kemenangan, oleh itu tumpuan kita ialah kepada rakyat Terengganu yang menanti kita menubuhkan kerajaan.’’

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, sebaik sahaja BN diumumkan menang dengan majoriti dua pertiga di Terengganu, tindakan awal yang diambil ialah memberi watikah pelantikan Menteri Besar kepada Idris untuk dipersembahkan kepada Pengerusi MPPR.

Langkah itu, kata beliau sebagai cadangan bahawa Idris telah dipilih oleh parti untuk memimpin kerajaan BN kerana mendapat sokongan majoriti ADUN BN yang menang.

Bagaimanapun kata Abdullah, MPPR telah membuat keputusan untuk melantik Ahmad sebagai Menteri Besar.

‘‘Ini telah membawa kepada suatu keadaan yang perlu diselesaikan. Ia adalah perkara yang amat penting bagi parti BN kerana rakyat memberi sokongan dua pertiga.

‘‘Maka usaha penyelesaian telah dicari dengan secepat mungkin bagi membolehkan rakyat Terengganu mendapat sebuah kerajaan yang dapat menggerakkan segala usaha-usaha pembangunan demi kepentingan mereka dan masa depan Terengganu,’’ katanya.

Beliau berkata, MT melahirkan penghargaan kepada Idris kerana menunjukkan kepimpinan yang cemerlang ketika menjadi Menteri Besar.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu tercetus, apabila Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan daripada MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu pada 23 Mac lepas.

Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Pelantikan beliau itu sekali gus telah mengetepikan Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang sebelum ini telah mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar bagi penggal kedua.

Pelantikan Ahmad itu mendapat pelbagai reaksi daripada pucuk pimpinan UMNO sendiri termasuk bantahan daripada 22 wakil rakyat BN Terengganu.

http://www.utusan.com.my

MB T'ganu: Umno mahu Ahmad

Krisis pelantikan menteri besar Terengganu selesai hari ini apabila calon lantikan istana, Datuk Ahmad Said, mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Tiada seorang pun (ahli MT) yang bantah," kata seorang anggota majlis itu Datuk Abdul Rahman Bakar kepada Malaysiakini, sejurus sebelum presiden Umno mengumumkannya.

Susulan itu, kata ketua bahagian Marang itu, presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh menerima pelantikan Ahmad.

Wakil rakyat Kijal itu menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu tetapi gagal mengangkat sumpah, seperti jadual asal, apabila istiadat itu dipulaukan oleh 23 lagi wakil BN.

Kumpulan 22 wakil rakyat BN itu mahu mengekalkan Idris, antaranya, dengan alasan beliau mendapat dukungan majoriti dan sokongan Perdana Menteri.

Idris, sebagai ketua perhubungan Umno negeri, hadir bersama Abdul Rahman dan ketua Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Majlis Tertinggi dianggotai 52 orang pemimpin Umno.

Dalam sidang medianya tadi, Abdullah berkata keutamaan Umno negeri itu adalah untuk melantik barisan ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri secepat mungkin.

Abdullah juga menafikan keputusan MT menerima Ahmad sebagai "memalukan" beliau dan parti.

Keputusan MPPR akan diterima oleh Idris dan 22 penyokongnya itu, tambah Abdullah.

Mesyuarat itu, yang diadakan di ibu pejabat Umno mulai pukul 3 petang, berlangsung lebih empat jam. Ia diadakan kali kedua selepas tamat pilihanraya umum 8 Mac.

Abdullah juga mengumumkan Ahmad sebagai menteri besar dalam sidang medianya tadi.

Idris, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan 22 wakil rakyat yang menyokongnya, gagal dikesan.

Kumpulan lebih 10 wartawan berada di luar bilik pertemuan itu di tingkat 38 bangunan ibu pejabat Umno menunggu selama tiga jam sehingga pukul 10 malam.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah dilaporkan sedang menyiasat penyelewengan seorang ahli politik Terengganu yang membabitkan tiga projek di Kijal dan Chukai, kedua-duanya di Kemaman.

Polis negeri pula menyatakan sebanyak 26 aduan diterima sepanjang krisis pelantikan menteri besar tetapi hanya empat kertas siasatan dibuka, antaranya kain rentang bertulisan "Kami nak Idris, natang".

MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment