26 August 2015

Selepas 7 tahun kajian, pensyarah UM hasilkan buku politik Turki

Selepas 7 tahun membuat kajian dan penulisan, 2 pakar sejarah Universiti Malaya (UM) baru-baru ini berjaya menghasilkan buku tentang Turki yang bakal menjadi panduan penting kepada politik Islam di Malaysia dan dunia.

Salah seorang penulisnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, buku setebal 411 muka surat itu dianggap panduan kepada penggerak politik Islam di negara ini kerana Turki merupakan negara khalifah Islam terakhir di dunia, iaitu Khalifah Othmaniah.

Buku bertajuk "Sekularisme dan proses demokrasi di Turki" itu, tulisan Redzuan dan Dr Mashitah Sulaiman, diterbitkan Penerbitan UM beberapa hari lepas dan kini mula memasuki pasaran.

"Kami buat kajian yang lama iaitu 7 tahun untuk menghasilkan buku ini kerana ia sebuah kajian ilmiah dan komprehensif," kata Redzuan ketika menyerahkan senaskhah buku itu kepada The Malaysian Insider.

Selepas kejatuhan Khalifah Othmaniah, Turki dijadikan negara sekular oleh Mustafa Kamal Atarturk.

Sejak 1980an, politik Islam mula bangkit di Turki sehinggalah AKP berjaya memerintah negara itu pada tahun 2002 dan sejak itu Islam diperkenalkan semula di sana dalam sistem demokrasi moden.

Perpecahan kumpulan Islam di negara itu yang asalnya dipimpin Necmetin Erbakan, dengan pembentukan AKP pimpinan Reccip Tayyib Erdogan, presiden Turki sekarang, menjadi bahan rujukan penting pengamal politik Islam seluruh dunia.


Buku yang dihasilkan daripada kajian ilmiah dan komprehensif selama 7 tahun. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Ogos, 2015.Buku yang dihasilkan daripada kajian ilmiah dan komprehensif selama 7 tahun. – Gambar The Malaysian Insider, 26 Ogos, 2015."Pengalaman semasa politik di Turki dikatakan menjadi medan uji kaji bagi melihat sejauh mana keupayaan politik Islam membina perhubungan dan penyesuaian di antara prinsip Islam, yang menjadi pegangan dalam perjuangan politik kumpulan Islam, dengan ideologi sekularisme yang berakar umbi dalam sistem hidup, nilai dan pemikiran masyarakat Turki sejak sekian lama," tulis Redzuan dan Mashitah dalam pendahuluan buku itu.

Bagaimana AKP pimpinan Erdogan boleh berpecah dengan parti Saadet yang dipimpin Erbakan, dan seterusnya kejayaan AKP memerintah Turki, boleh diambil iktibar penggiat politik Malaysia sendiri khasnya dalam kes perpecahan PAS yang menghasilkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Dalam tulisan itu juga, penulis berkata, walaupun AKP tidak menjadikan Islam sebagai slogan perjuangan, namun asal usul parti ini tidak boleh memisahkan mereka daripada cita-cita perjuangan yang berlandaskan Islam.

Kini, perjuangan AKP dan kejayaannya menukar Turki daripada "negara sakit Eropah" kepada "10 negara terkaya di dunia" dan pelaksanaan banyak tuntutan Islam di negara dua benua itu menjadi aspirasi perjuangan politik Islam seluruh dunia, khasnya di Malaysia. - TMI

No comments:

Post a Comment