22 May 2015

Sultan Johor beli kepentingan hospital Australia


SULTAN Johor mengambil alih sebahagian daripada Hospital Sunset Perth di pinggir bandar Dalkeith membabitkan sejumlah A$8.5 juta, demikian menurut Associated Press Australia (AAP).

Ketua Menteri Australia Barat, Colin Barnett memberi jaminan bahawa urus niaga itu tidak akan menjejaskan tapak warisan di situ.

Barnett berkata, keseluruhan kawasan kira-kira seluas 8.5 hektar, namun hanya 1,900 meter persegi - atau kira-kira dua peratus daripada keseluruhan tapak, telah dijual di bahagian bawah bangunan warisan berkenaan.

AAP melaporkan bahawa Barnett memberi tahu Parlimen negeri itu pada Rabu bahawa wang hasil penjualan hartanah itu akan digunakan untuk membangunkan semula sebahagian tapak berkenaan.

Selepas kerja-kerja landskap selesai dan bahagian luar bangunan dipulihkan, ia akan ditawarkan untuk pajakan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan berasaskan keuntungan atau institusi pendidikan.

Barnett berkata, beliau menjangkakan kawasan itu akan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh dua tahun.

"Pada asasnya ia merupakan sebuah kampung berusia 100 tahun dalam keadaan yang bersih dengan kira-kira sedozen bangunan besar dibina," katanya kepada parlimen. - Bernama

No comments:

Post a Comment