01 April 2015

(BERITA BAIK GST) Kaunter Skim Bayaran Balik Pelancongan Di Lapan Lapangan Terbang Utama Mulai Rabu

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Pelancong yang berbelanja sepanjang berada di Malaysia akan dapat menuntut jumlah yang dibelanjakan ke atas Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bagi barangan yang dibeli melalui kaunter Skim Bayaran Balik Pelancongan (TRS) di lapan lapangan terbang utama bermula Rabu.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Abdul Rahman Othman berkata pembukaan kaunter itu membolehkan pelancong untuk menebus jumlah yang dibelanjakan tidak kurang daripada RM300 di 700 peruncit TRS berdaftar di seluruh negara sebelum kembali ke negara mereka.

"Kaunter akan disediakan di lapangan terbang Senai, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang," katanya dalam sidang media selepas pelancaran TRS CBP Malaysia di sini, pada Selasa.

Turut hadir ialah Pengarah IRIS Global Blue TRS Malaysia Sdn Bhd (IGB) Datuk Hamdan Mohd Hassan, Ketua Komersial Global Blue South Asia Nigel Dasler dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Sakenah Begum Md Nazir.

Abdul Rahman mengingatkan pelancong untuk mendapatkan Borang Bebas Cukai selepas membuat bayaran sebelum menuntut pembayaran balik.

"Apabila mereka meninggalkan Malaysia, bawa barangan yang dibeli, resit dan pasport ke kaunter Kastam untuk mengesahkan Borang Bebas Cukai.

"Kemudian, bawa Borang Bebas Cukai yang disahkan, pasport dan kad kredit ke kaunter untuk penebusan," katanya.

Sementara itu, Sakenah Begum berkata hanya pelancong asing dibenarkan menuntut bayaran balik cukai manakala warga Malaysia serta penduduk tetap tidak layak menuntut bayaran balik.

"Diplomat juga dibenarkan menuntut bayaran balik tetapi dengan syarat mereka menamatkan perkhidmatan mereka di Malaysia," katanya.

Beliau berkata mereka yang tidak bertugas di Malaysia sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum meninggalkan negara ini dikecualikan daripada layak mendapatkan bayaran balik.

"Pembayaran balik juga tidak diberi kepada mereka yang membuat perjalanan melalui darat atau laut," katanya.

Sementara itu, Dasler berkata IGB diberi konsesi 'tiga-campur-dua tahun' oleh kerajaan untuk membangunkan perisian bagi kaunter TRS di setiap lapangan terbang terpilih.

"Kami telah mendapat kelulusan daripada KDRM untuk mengendalikan kaunter berkenaan. Ia bukanlah kontrak dengan kerajaan memberi kami sejumlah wang, sebaliknya kami diberi konsesi 'tiga-campur-dua tahun' oleh mereka," katanya.

Beliau berkata daripada enam peratus bayaran balik CBP yang dituntut oleh pelancong, IGB akan mendapat 15 peratus daripada nilai bayaran balik. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment