25 February 2015

Kedudukan kerusi Permatang Pauh diputuskan Agong, kata Speaker Dewan Rakyat

Kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh hanya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Anwar masih lagi kekal sebagai ahli Parlimen selepas keluarganya memohon pengampunan Diraja selepas dikenakan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan kes liwatnya,

“Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima sesalinan petisyen bagi suatu pengampunan pada 24 Februari 2015 yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar dan Nurul Nuha Anwar bagi pihak Yang Berhormat Permatang Pauh kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Maka kehilangan kelayakkan Yang Berhormat Permatang Pauh hanya akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Pandikar, perkara itu selaras dengan peruntukkan undang-undang di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuaan.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu menolak rayuan akhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Bermula daripada tempoh itu, Anwar diberi selama 14 hari untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum kelayakan sebagai ahli Parlimen digugurkan iaitu pada 24 Februari 2015.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mengesahkan Ketua Pembangkang itu tidak akan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan kes liwat yang dihadapinya.

Bagaimanapun, keluarga Anwar diketuai isterinya Wan Azizah telah memohon pengampunan Diraja bagi hukuman atas kesalahan kes liwatnya pada saat akhir. - TRPost

No comments:

Post a Comment