09 October 2014

Dewan Ulama PAS bantah Oktoberfest

Dewan Ulama PAS turut membantah keras Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 12 Oktober ini di Bandar Utama, Petaling Jaya. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan turut mendesak semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan mengambil tindakan ke atas penganjur yang mempromosikan festival itu secara terbuka walaupun tiada kebenaran mahupun permit dikeluarkan.


"Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak PBT yang lain ekoran bertindak berani dan bijak tidak meluluskan pesta arak itu," kata Nasruddin selepas majlis menyerahkan memorandum bantahan kepada PBT di Petaling Jaya semalam. Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Datin Alinah Ahmad berkata, pihaknya juga bertindak menurunkan iklan di jalan raya selepas mendapati penganjur pesta tersebut menaikkan iklan berkenaan penganjuran pesta arak itu tanpa sebarang permit.

Alinah turut mengesahkan pihaknya tidak mengeluarkan permit bagi membenarkan festival itu diadakan termasuk promosi melalui papan iklan turut dilarang. Program penyerahan memorandum itu turut dihadiri ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) serta kepimpinan PAS seperti Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Nasrudin berkata, tindakan penganjur untuk mengadakan pesta tersebut secara terbuka mencabar sensitiviti umat Islam terutama sewaktu rakyat Islam di negara ini meraikan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban. Beliau seterusnya mempersoalkan motif penganjur mengadakan pesta itu secara terbuka sedangkan sebelum ini pesta sama diadakan secara tertutup.

Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi di Selangor dan kemuncak acara itu akan diadakan dari 10 hingga 12 Oktober ini. Beliau turut menuntut pihak penganjur memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran mempromosikan festival arak berkenaan. "Kita menghormati agama lain, begitu juga agama lain perlu menghormati Islam apatah lagi Islam itu agama persekutuan negara ini. "Oleh itu, mengapa tidak pesta ini dilakukan secara tertutup supaya tidak mengganggu sensitiviti umat Islam," katanya. – TMI

No comments:

Post a Comment