17 August 2014

Azmin tunggu mesyuarat Pakatan sebelum ulas keputusan PAS

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak tidak terburu-buru membuat kenyataan berkenaan keputusan PAS Pusat menyerahkan namanya sebagai salah seorang calon diterima menggantikan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 "Kita tunggu pimpinan Pakatan Rakyat (selesai bermesyuarat hari ini). Biar majlis tentukan dulu, kemudian baru saya beri respons," katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider. Beliau diminta mengulas hasil mesyuarat PAS Pusat pagi tadi memutuskan menerima presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin sebagai calon menteri besar bagi negeri terkaya di Malaysia itu.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mengatakan ia akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan PKR petang ini. Pada sidang media itu, Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu berkata, PAS juga memutuskan terus kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) walaupun krisis tersebut hampir memecahkan gabungan parti pembangkang itu.


"Empat exco kerajaan negeri daripada PAS akan terus menjalankan tugas bagi memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas," katanya membaca kenyataan yang ditandatangani presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Hadi mempengerusikan mesyuarat pimpinan PAS Pusat itu tetapi tidak menghadiri sidang media.

Beliau sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Wan Azizah dan merupakan sebahagian Majlis Syura yang memutuskan pada 7 Ogos yang Khalid tidak perlu disingkirkan. Ditanya sama ada keputusan hari bertentangan dengan keputusan Majlis Syura yang mahu Khalid dikekalkan, Mat Sabu berkata nama Khalid tidak lagi berkenaan dalam hal itu.

"Beliau kena pecat. Beliau bukan lagi berada dalam Pakatan. Kita tahaluf dengan parti bukan individu," katanya sambil enggan mengulas sama ada pilihan utama PAS adalah Dr Wan Azizah atau Azmin. PAS akan menerangkan kepada PR yang bermesyuarat petang ini kenapa parti itu memilih dua nama dan kenapa Azmin yang dicalonkan. - TMI

No comments:

Post a Comment