24 October 2009

MPV terjunam ke landasan komuter

SUBANG JAYA: Kira-kira 4,000 pengguna komuter terkandas apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria terjunam kira-kira empat meter dari jejambat landasan komuter di Kilometer (KM) 17 Batu Tiga dekat sini, semalam.

Ia kes kedua kenderaan terhumban ke rel komuter di situ selepas sebuah Rexton menerima nasib sama kira-kira dua bulan lalu, akibat kawasan tidak dipasang penghadang konkrit.

Kejadian terbaru berlaku jam 7.30 pagi semalam juga nyaris membabitkan nyawa penumpang komuter apabila kenderaan itu dikatakan terhumban hanya beberapa meter ketika sebelum sebuah tren yang sedang menghala ke Shah Alam tiba di lokasi itu.

Tren berkenaan terpaksa diberhentikan dan pengendalinya melaporkan kejadian itu kepada pusat kawalan, menyebabkan perkhidmatan itu dihentikan serta- merta.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati kenderaan itu terbabas ke kanan dan terhumban dari tebing jalan ke rel ketika pemandunya mengambil selekoh di susur keluar dari Lebuh Raya Persekutuan ke Subang Jaya.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan seorang penumpang Naza Ria berusia 40-an cedera termasuk patah kaki dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kenderaan yang remuk teruk di bahagian depan dan terbalik dengan empat tayar ke atas itu hanya diangkat menggunakan kren pada jam 10.30 pagi.

Menurut Pengurus Kanan Operasi (Wilayah Tengah) Perkhidmatan Komuter, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Md Rusli Md Nor yang ditemui di tempat kejadian, kejadian itu menyebabkan 4,000 pengguna komuter terjejas apabila perkhidmatan itu terpaksa dihentikan sepenuhnya setengah jam, mulai jam 7.30 pagi.

Katanya, perkhidmatan disambung semula tetapi terhad kepada satu laluan yang digunakan secara bergilir-gilir oleh tren dari kedua-dua hala yang berselisih sama ada di Batu Tiga atau Subang Jaya.

"Secara keseluruhan, perkhidmatan bagi setiap tren milik KTMB terjejas perjalanannya antara 10 dan 15 minit," katanya.
- Berita Harian

No comments:

Post a Comment