10 October 2009

MCA: 'Menang kosong sahaja', kata Dr M

Sekalipun mesyuarat Agung Khas MCA diadakan untuk menentukan hala dua pemimpin parti itu, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai apa-apa harapan terhadap pemilihan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Kelab Sultan Sulaiman anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), katanya, beliau "tidak peduli siapa yang menang" dalam mesyuarat tersebut.

"Boleh jadi orang ini menang dan orang ini menang, tetapi parti tetap akan berpecah. Orang ramai pun akan keliru dan mungkin tidak sokong MCA. Jadi menang kosong sahaja.

"Ia memberi kesan kepada MCA dan rakyat dan ia akan menjadi lebih buruk. Itulah yang saya khuatir," kata Dr Mahathir.

Beliau diminta mengulas mengenai harapan beliau terhadap mesyuarat agung khas (EGM) MCA hari ini bagi menyelesaikan krisis kepimpinan antara presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dengan timbalan presiden yang digantung, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan terhadap BN sekiranya calonnya di Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad menang dalam pilihan raya kecil DUN itu esok, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada rakyat untuk menterjemahkan kemenangan tersebut sama ada untuk BN atau untuk calon itu sendiri.


"Ia terpulang kepada rakyat. Dalam negara ini, seperti negara yang lain, anda dapat kerajaan yang anda sendiri pilih.

"Sekiranya anda tidak bijak, anda akan dapat kerajaan yang tidak. Kalau anda bijak, anda akan dapat kerajaan yang baik. Itulah yang saya percaya," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya, Datuk Fuad Hassan.

Populariti Najib

Mengulas mengenai populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikatakan menurun sejak mengambil tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi bekas presiden Umno itu berkata:

"Mungkin agak terlalu awal untuk nak buat penilaian. Mungkin pada beberapa bulan pertama ini, bila kita pegang kuasa, baru orang boleh tahu bagaimana nak ukur kita. Sebelum dapat kuasa, semuanya elok".

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau menyerahkan kepada rakyat Kelantan untuk membuat keputusan berhubung tempoh perkhidmatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kalau beliau tak nak berhenti, saya nak buat macam mana. Tunggu rakyat Kelantan buat keputusanlah. Cuma saya diberitahu dalam tahun 2005, dalam satu mesyuarat jawatankusa PAS, ada buat keputusan. Saya tak tahu ia betul atau tidak. Saya diberitahu.

"Apa pun terpulang kepada rakyat Kelantan. Nampaknya dia seronok pegang jawatan, payah nak berhenti. Sebab-sebab dia tak nak berhenti, kena tanya dia sendiri," kata Ibrahim.

"Penyakit ketualah tu. Bila dia jadi ketua, dia tak nak berhenti. Sedap duduk sahaja," sampuk Tun yang berada di sebelah kanan Ibrahim.

Dilaporkan Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS akan terus memegang jawatan menteri besar selagi mendapat sokongan rakyat negeri.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan Ibrahim Ali itu, Dr Mahathir berkata: "Datuk Ibrahim Ali, beliau tidak berpihak kepada sesiapa pun. Kalau saya buat salah, dia juga hentam saya. Itulah Ibrahim.

"Macam mana saya boleh berkawan dengan dia, saya pun tak faham," kata Tun yang disambut gelak ketawa hadirin. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment