11 October 2009

Hadiah untuk rakyat

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penjualan 44,146 unit rumah awam kerajaan kepada penyewa dengan harga antara RM21,500 hingga RM35,000 seunit bermula November ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan rebat RM2,500 untuk setiap rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan antara RM1,540 hingga RM2,500 seunit bagi Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan pemilik membaik pulih rumah berkenaan.

Pengumuman itu disambut gembira dengan tepukan bergemuruh oleh kira-kira 15,000 penyewa yang hadir pada majlis pelancaran penjualan rumah berkenaan di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini.

Ia sebagai menunaikan janji yang dibuat beliau pada 11 Julai lalu ketika genap 100 hari menjadi Perdana Menteri, supaya penduduk miskin memiliki rumah sendiri di bawah konsep Satu Keluarga Satu Rumah.

Najib berkata, sebanyak 29,562 unit PPR di bawah seliaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di 20 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM35,000 sebuah.

''Bagi 14,584 unit Perumahan Awam DBKL di 17 lokasi pula dijual pada harga antara RM21,500 hingga RM35,000 sebuah mengikut keluasan dan jumlah bilik.

''Borang permohonan akan mula diedarkan Isnin ini dan semua penyewa dijangka menerima surat kelulusan dan dokumen perjanjian jual beli rumah pada November atau Disember ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan membantu penyewa terbabit mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan bagi membeli rumah berkenaan yang kini mempunyai nilai pasaran antara RM80,000 hingga RM85,000 seunit.

''Sekiranya terdapat di kalangan penduduk yang tidak mampu membelinya, mereka akan terus dibenarkan menyewa sehinggalah benar-benar mampu.

''Selaras dengan konsep 1Malaysia, rumah ini akan dijual kepada penduduk berbilang kaum yang menepati syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

''Antara syarat ini adalah mesti mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan keutamaan akan diberikan kepada penduduk yang telah lama menyewa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, rakyat tidak boleh berbangga hanya semata-mata kerana Kuala Lumpur mempunyai bangunan pencakar langit, lebuh raya dan jalan yang cantik serta gedung beli-belah mewah kerana itu hanya sebagai pelengkap kepada kota raya moden.

''Sesebuah kota raya hanya boleh dijadikan kebanggaan apabila keadaan rakyat biasa diambil kira dan mereka bebas daripada sebarang kesempitan hidup.

''Mudah-mudahan mereka yang mendapat rumah ini tidak lupa jasa serta budi kerajaan dan kalau boleh, kenang sampai bila-bila," katanya. - Utusan

* Rakyat kena beli, itu bukan hadiah. Itu guna duit sendiri.

No comments:

Post a Comment