24 October 2009

Bajet 2010 pinggir Kementerian Pertahanan: Anwar

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak sempurna kerana Kementerian Pertahanan tidak menerima 'berita gembira' daripada Bajet 2010.

Beliau berkata, sepanjang pembentangan bajet sebelum ini, Kementerian Pertahanan dan anggota tentera tidak pernah dilupakan dan dipinggirkan.

Menurutnya, kerajaan tidak seharus meminggirkan pihak tentera yang telah bertungkus lumus berkhidmat untuk keselamatan negara.

“Saya juga terkejut dengan pembentangan bajet sebentar tadi (semalam) kerana tidak menyebut Kementerian Pertahanan dan selepas kemenangan Bagan Pinang, anggota tentera dilupakan,” katanya pada satu sidang media selepas pembentangan Bajet 2010 di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) telah dapat mengesan beberapa kelemahan asas dalam Bajet 2010 antaranya, dalam menangani defisit yang dilihat tidak jelas.

“Kenyataan yang menunjukkan bahawa pelaburan kita menjunam, ini satu yang memeranjatkan iaitu dari RM 19.7 billion ringgit kepada RM 3.36 billion ringgit, ini satu kenyataan yang harus disiasat.

“Ini kerana ianya tidak selaras dengan perkembangan ekonomi serantau seperti India, China yang meningkat taraf ekonomi dan pelaburannya,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat kemudahan diberi kepada rakyat, namun terdapat beberapa beban baru seperti yuran perkhidmatan kad kredit itu terpaksa ditanggung oleh 2 juta rakyat berbanding dengn kemudahan kecil yang diberikan.

“Perkara ini berlaku kerana jumlah pendapatan kerajaan ketika ini merosot dan pengurangan perbelanjaan itu turun kepada 11.2 peratus.

“Ini membimbangkan kerana pendapatan merosot, belanjawan tidak meningkat maknanya kita tidak dapat mengekalkan prestasi pertumbuhan,” katanya.

Menurutnya, terdapat keraguan dalam penjualan aset utama Kerajaan, tanah-tanah di sekitar Wilayah Persekutuan, ini kerana proses ini selalunya tidak telus.

“Kroni mana dan keluarga mana yang akan dapat bangunkan aset tanah yang begitu penting dan kritikal di wilayah,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment