16 September 2009

Tutup laman web waktu solat

Akhbar online Arab Saudi henti operasi 20 minit selama lima kali sehari

JEDDAH: Sebuah akhbar online tempatan di wilayah Hail mengambil langkah menutup laman webnya selama 20 minit setiap kali tiba waktu solat lima waktu.

Sekiranya pelawat memasuki laman Aen Hail ketika waktu solat, mereka akan menemui mesej 'Tutup bagi solat' dalam bahasa Arab selain kiraan waktu tamatnya masa rehat untuk solat di bahagian bawah laman.

Penutupan sementara itu yang bermula bulan ini adalah dilakukan secara automatik dan dikaitkan dengan waktu solat tempatan, kata pengarang online laman itu, Majid Al-Mismar.

"Laman ini dibina dengan integrasi pada satu perisian yang menggantikan laman indeks dengan lain," katanya.

"Kami percaya solat perlu diutamakan. Akhbar elektronik akan tutup ketika waktu solat dan ia kembali semula selepas solat berakhir."

Kebanyakan komen online memuji langkah diambil laman web itu menandakan sokongan mereka kepada sistem yang sama di seluruh negara di mana kebanyakan aktiviti komersial dihentikan sementara waktu ketika solat.

Profesor di Institut Kehakiman Tinggi Universiti Islam Muhammad ibn Saud dan juga ahli Akademi Fikah Islam Antarabangsa, Mohammed Al-Nojaimi, menyifatkan keputusan akhbar itu sebagai amat mulia.

"Ia menggalakkan tabiat individu untuk bersolat pada waktunya," katanya.

Pendapat lain menyifatkan langkah itu sebagai hanya dari segi lahiriah.

"Anda hanya memfokuskan kepada penampilan dan persembahan berbanding prinsip sebenar agama," kata satu komen yang dihantar kepada laman itu.

"Bagaimana jika orang yang mahu melayari laman ini seorang bukan Islam?" tanya penulis kolum akhbar Al-AWatan, Amal Zahid dalam satu ruangan lidah pengarah yang disiarkan Jumaat lalu yang menyifatkan penutupan sementara ketika waktu solat tidak akan menggalakkan orang ramai untuk bersolat.

"Bersolat adalah satu perbuatan agama yang mengaitkan manusia dengan Tuhan sepanjang hari. Menggalakkan orang bersolat pada masanya tidak akan dicapai hanya dengan menutup laman web. - Agensi

* Tetapi itu boleh juga membantu sedikit sebanyak orang solat pada waktunya.

No comments:

Post a Comment