17 September 2009

Tujuh menyamar polis untuk menyamun ditahan

JOHOR BAHARU 17 Sept. — Tujuh lelaki yang melakukan 21 kes samun jalanan di sekitar bandar raya ini dengan menyamar sebagai pegawai polis berjaya ditahan selepas polis menyerbu dua buah rumah di Kampung Melayu Pandan dan Taman Bukit Mutiara di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua mereka yang melakukan jenayah itu dalam tempoh empat hari sejak Ahad lepas, ditahan tengah hari semalam selepas polis menubuhkan satu pasukan khas.

“Dalam serbuan pertama di Kampung Melayu Pandan itu, polis menahan empat lelaki berumur 18 hingga 28 tahun manakala dalam serbuan kedua di sebuah rumah flet di Taman Bukit Mutiara, polis menahan tiga lagi lelaki berumur 23 hingga 26 tahun,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, pemeriksaan di kedua-dua rumah menemui sepasang pakaian seragam lengkap pegawai kanan polis, vest, jaket hitam berlambang Polis Tentera Diraja, kad kuasa polis dan peralatan menyamun termasuk kapak, pisau, parang serta beberapa senjata berbahaya.

Beliau berkata, polis turut menemui beberapa keping kad pengenalan orang awam, kad kredit, kad bank, lesen memandu orang awam, 18 telefon bimbit, tiga jam tangan, empat buah kereta dan sebuah motosikal yang dipercayai hasil samun kumpulan itu.

- BERNAMA

* Tahniah buat pasukan khas ini.

No comments:

Post a Comment