15 September 2009

Sultan Selangor Tidak Adakan Hari Terbuka Aidilfitri Kerana A(H1N1)

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan mengadakan majlis Hari Terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengelak penyebaran wabak Influenza A(H1N1).

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata Sultan Selangor menitahkan kepada beliau untuk memaklumkan perkara itu, memandangkan wabak berkenaan ketika ini disenaraikan sebagai penyakit berjangkit yang perlu dikawal.

"Langkah ini juga selaras dengan saranan kerajaan supaya berwaspada dan membendung H1N1 daripada merebak," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata Sultan Selangor juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat negeri Selangor dan berharap supaya rakyat sentiasa menjaga kesihatan, di samping bersatu-padu agar dapat terus hidup dalam suasana aman dan sejahtera.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment