16 September 2009

Muntadar dibebaskan

BAGHDAD 15 Sept. - Muntadar al-Zeidi, wartawan Iraq yang dipenjarakan setelah didapati bersalah membaling kasut ke arah bekas Presiden George W. Bush - dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.

Muntadar, 30, didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Baghdad pada 12 Mac lalu kerana menyerang Bush ketika bekas Presiden itu melakukan lawatan perpisahan ke ibu kota Iraq ini pada Disember tahun lalu.

"Dia telah bebas dan sedang menunggu untuk mendapatkan barangan miliknya," kata Uday, abang wartawan itu kepada AFP.

Muntadar sepatutnya dibebaskan semalam tetapi telah ditangguhkan ke hari ini.

Sebelum ini, dia dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun sebelum Mahkamah Rayuan mengurangkannya kepada hukuman penjara satu tahun kerana tidak mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, disebabkan berkelakuan baik, hukuman penjara ke atasnya dikurangkan lagi selama tiga bulan.

Muntadar melawat stesen televisyen al-Baghdadia iaitu tempatnya berkerja dahulu ketika menyerang Bush.

Lawatannya itu disiarkan oleh stesen televisyen tersebut. Muntadar yang memakai kacamata hitam dan berselubung dengan bendera Iraq tiba di stesen televisyen itu dengan dikelilingi pengawal keselamatan.

Kakitangan stesen itu juga telah menyembelih tiga ekor biri-biri bagi menyambutnya.

Sementara itu, ahli keluarganya turut meraikan kebebasan Muntadar sebaik-baik dia tiba di kediamannya di tengah Baghdad dengan tarian tradisional Iraq dan beberapa wanita juga kelihatan menangis kerana terharu. - AFP

No comments:

Post a Comment