18 September 2009

Gambar MB disimbah cat

SITIAWAN 16 Sept. – Perbuatan pihak tertentu menyimbah cat merah ke atas gambar Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sebuah papan iklan di Seri Manjung, dekat sini dianggap tidak bertamadun serta kurang siuman.

Setiausaha UMNO Bahagian Lumut, Azri Jaafar berkata, perbuatan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali kerana mencabar maruah Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut dan juga semua ahli parti.

Menurutnya, selain menyimbah cat merah, pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut merosakkan kain rentang ucapan Selamat Berbuka Puasa dan Selamat Hari Raya oleh Dr. Zambry di Bangunan UMNO di sini.

‘‘Sebagai ahli UMNO, kami begitu kesal dengan tindakan pengecut berkenaan yang cuba melakukan sabotaj terhadap kain rentang serta papan iklan yang tertera gambar Menteri Besar.

‘‘Bagi UMNO Bahagian Lumut, kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertamadun dan mengamalkan undang-undang rimba itu,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Sitiawan di sini.

Seramai 20 ahli Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Lumut turut mengiringi Azri ketika laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Azri berkata, UMNO Lumut meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, poster berukuran enam meter lebar dan lapan meter panjang yang disimbah cat itu mengandungi ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri oleh Menteri Besar.

Cat berwarna merah yang diisi dalam sebuah beg plastik itu kemudian dipercayai dibaling ke arah gambar Menteri Besar yang diletakkan di persimpangan hadapan stadium mini Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Menurut Azri, beliau telah dimaklumkan oleh orang ramai berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi.

‘‘Kejadian sabotaj berkenaan bukannya pertama kali berlaku di sini, malah telah beberapa kali di sekitar daerah ini. Bagaimanapun, kami hanya mendiamkan diri sahaja dan tidak mengambil sebarang tindakan.

‘‘Namun, kejadian yang terbaru ini benar-benar mencabar kesabaran dan maruah ahli dan merayu kepada pihak polis supaya mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,’’ katanya. - Utusan

* Dialah yang undang-undang rimba. Perintah Perak tanpa ada rasa malu. Rakyat Perak pilih Pakatan Rakyat.

1 comment:

  1. Melakukan kerja tu adalah tak patut dalam era moden nih..
    Memang depa ikut undang2 rimba..TAPI cara menukar speaker dulu adalah lebih rimba dirasakan. Ada pernah terjadi dalam sejarah negara demokrasi lain?

    ReplyDelete