30 August 2008

Tahniah polis, penceroboh kediaman untuk tujuan tidak baik wajar menanggung akibatnya

Lagi 4 Geng Mastika ditembak mati

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Polis menembak mati empat penjenayah warga Indonesia dipercayai anggota Geng Mastika yang menyerang polis menggunakan parang di sebuah tapak pembinaan di Bukit Hatamas, Taman Segar Perdana, Kajang dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, empat suspek itu yang berusia 20-an hingga 40-an dipercayai kumpulan penjenayah yang melakukan pecah rumah di Bukit Permai, Ampang dua jam sebelum itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pergerakan kumpulan penjenayah itu berjaya dikesan dan diekori polis sehingga ke tempat kejadian sebelum dikepung di kawasan tersebut.

Menurutnya, polis percaya kumpulan itu bertanggungjawab dalam sekurang-kurangnya 19 kes di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam tempoh sebulan lalu.

Tambah beliau, ini termasuk kaitan mereka dengan kumpulan yang terlibat dalam kes pecah rumah di Serendah, tiga hari lalu.

"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui semula barangan-barangan yang dipercayai dirompak dalam kejadian pagi tadi dan beberapa kes pecah rumah lain sebelum ini.

"Antara yang ditemui ialah wang tunai RM2,000, sebuah komputer riba, dua telefon bimbit, enam utas jam tangan, pasport dan beberapa senjata lain dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka ," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, dua lelaki Indonesia ditembak mati, tiga berjaya ditahan manakala empat lagi suspek warga Indonesia dipercayai anggota Geng Mastika berjaya melarikan diri.

Difahamkan, dua suspek yang ditembak mati hari ini merupakan antara mereka yang melarikan diri itu.

Polis kini dalam usaha memburu saki baki ahli kumpulan warga asing berkenaan yang masih bebas.

Sementara itu, mangsa, Lee Yan Lin, 39, seorang seorang ahli perniagaan memberitahu, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah pintu biliknya.

Katanya, apabila sedar, kelihatan empat lelaki sudah berada dalam biliknya dan dia diugut dengan pisau supaya tidak melawan sebelum diikat dengan tali leher.

"Mereka kemudian menggeledah rumah saya hampir setengah jam dan melarikan wang tunai kira-kira RM100, sebuah komputer riba dan dua telefon bimbit.

"Penjenayah itu naik berang kerana hasilnya tidak banyak dan bertindak menampar muka saya," ujarnya yang tinggal seorang diri di rumah teres dua tingkat itu.

Menurut Yan Lin, penjenayah masuk dari pintu belakang di bahagian dapur dan keluar dari laluan sama.

Sejurus selepas penjenayah melarikan diri, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment