31 August 2008

Sebuah lagi kapal MISC dirampas lanun di Somalia

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Sebuah lagi kapal tangki minyak milik MISC Bhd., MT Bunga Melati 5 dirampas sekumpulan lanun bersenjata di perairan antarabangsa Teluk Aden berhampiran Somalia, malam tadi.

Ketika kejadian, terdapat 41 anak kapal termasuk 36 rakyat Malaysia.

Rampasan terbaru itu berlaku kira-kira pukul 9.50 malam ketika kapal yang membawa muatan 30,000 tan minyak kelapa sawit itu sedang belayar dari Yanbu, Arab Saudi menuju Singapura.

Ia berlaku hanya 10 hari selepas kapal MT Bunga Melati 2 yang sarat muatan 32,025 tan minyak kelapa sawit dalam perjalanan ke Rotterdam dari Dumai, Sumatera dirampas di perairan sama.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, MISC memberitahu, ketika kejadian, kapal MT Bunga Melati 5 sedang belayar di kawasan keselamatan ditetapkan dan kapten berusaha mengelakkan diri daripada dirampas.

“Kapal berkenaan sempat menghubungi pasukan keselamatan di kawasan berkenaan tetapi mereka tidak menghalang rampasan itu kerana memberi keutamaan kepada keselamatan anak kapal,” katanya.

Sehingga kini, MISC, sebuah syarikat perkapalan multinasional Malaysia, belum menerima maklumat lanjut berhubung kejadian rampasan kapal MT Bunga Melati 5 itu.

Menurut MISC, kejadian rampasan dan penahanan anak kapal itu telah dilaporkan oleh syarikatnya kepada pihak berkuasa tempatan untuk operasi menyelamat dan bantuan.

Kumpulan lanun terbabit turut merampas empat lagi kapal iaitu dua dari Jerman dan satu dari Jepun serta Iran.

MISC sebelum ini mengesahkan seorang anak kapal MT Bunga Melati 2 warganegara Filipina meninggal dunia akibat cedera parah semasa kejadian rampasan itu.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment