26 August 2008

Pengundi hantu akan menemui sesuatu yang tidak diduga di Permatang Pauh

AMK lancar 'Skuad Gempur Pengundi Hantu'

PERMATANG PAUH, 26 Ogos (Hrkh) -Angkatan Muda KeADILan hanya akan menggunakan kaedah 'citizen arrestment' atau tangkapan awam dalam menghadapi sebarang kekacauan serta kejadian luar jangka pada hari pembuangan undi hari ini.

Pengerusinya, Samsul Iskandar Mat Akin berkata pihak AMK tidak akan menganjurkan sebarang rapat umum, konvoi mahupun provokasi pihak tertentu bagi menimbulkan kekecohan.

"Kami mengarahkan kepada jentera AMK untuk membuat tangkapan awam terhadap sebarang kesalahan yang dilihat dan disedari terjadi," katanya pada satu sidang media pelancaran Skuad Gempur Pengundi Hantu di Markas AMK Jalan Tuna Baru, Seberang Jaya, petang semalam.

Ujarnya, AMK yakin dengan peranan dan tugas yang dimainkan pihak keselamatan serta kerjasama yang diberikan bagi memastikan perjalanan pilihan raya di Permatang Pauh berjalan dengan lancar.

AMK juga katanya akan menumpukan perhatian kepada isu pengundi hantu yng kemungkinan dijadikan sebagai jalan terakhir memenangkan Umno-BN setelah melihat peluang kemenangan tipis.

"Setakat ini, kami menerima laporan mengenai pelbagai kes termasuk kad pengenalan yang dibeli, dipalsukan selain usaha mengadakan provokasi seperti membawa masuk bas pengundi hantu secara 'dummy'," jelasnya.

Justeru, beliau memberi peringatan berikut kepada pihak yang berhasrat melakukan perancangan sedemikian.

"Kepada sesiapa yang berhasrat untuk melakukan sebarang kekecohan dan provokasi pada proses pembuangan undi, saya ingin mengingatkan agar mereka menghentikannya," katanya.

Beliau juga menafikan sebarang tindakan keganasan yang dilakukan oleh AMK atau mana-mana petugas pilihan raya KeADILan.

"Sama ada dia memakai atau mempergunakan logo KeADILan mahupun Pakatan Rakyat, itu semua bukan daripada perancangan kita, ataupun berkaitan dengan apa yang datang daripada Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Untuk itu katanya, pihak Pakatan Rakyat telah menyediakan khidmat guaman yang diketuai Naib Presiden, R. Sivarasah bagi mengendalikan kes-kes perundangan sepanjang hari pembuangan undi.

Sementara itu, Samsul juga meminta Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang menuduh KeADILan menerima dana daripada Amerika Syarikat.

"Jika beliau enggan atau gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, kami tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan saman kepadanya," tegasnya.

Mengulas mengenai peluang kemenangan KeADILan dalam pilihan raya kecil ini, pihaknya tetap optimis.

"Namun segalanya boleh berubah sekiranya Umno-BN bertindak menggunakan laporan keganasan sebagai petisyen membatalkan kemenangan yang diperolehi kelak," ujarnya lagi.

Para penganalisis politik menjangkakan pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini bakal melakar sejarah politik negara.

Namun segalanya terletak kepada keputusan yang bakal ditentukan lebih 58,000 pengundi Permatang pauh hari ini.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment