29 August 2008

Panggil Uncle Seekers | Sebulan yang lalu dia kata boleh selesaikan histeria 2 jam sahaja

Histeria SMK Tanjung Lumpur semakin teruk

KUANTAN 28 Ogos – Kejadian histeria yang berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini hari ini, bertambah serius apabila salah seorang mangsa pelajar perempuan menjerit-jerit “aku ingin darah dan nyawa.”

Pelajar itu adalah antara lapan pelajar perempuan yang terus menjadi mangsa histeria di sekolah itu yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Jeritan mangsa histeria itu menimbulkan kebimbangan kepada segelintir pelajar, ibu bapa dan beberapa pengamal perubatan tradisional yang berusaha keras untuk memulihkan keadaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah terbabit hari ini mendapati kejadian histeria masih terus membelenggu para guru dan pelajar walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Pahang.

Beberapa ibu bapa yang ditemui berkata, ungkapan salah seorang mangsa histeria hari ini yang berbau ugutan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, mereka menggesa Jabatan Pelajaran Pahang, pihak sekolah dan pakar dalam bidang perubatan Islam serta tradisional bertindak segera kerana bimbang makhluk halus yang dipercayai mendiami kawasan berkenaan akan bertindak lebih dahsyat lagi.

Malah, terdapat lebih daripada 20 pengamal perubatan rohaniah berusaha untuk memulihkan semula sekolah tersebut sejak Mei lalu, tetapi setakat ini masih menemui jalan buntu.

Hari ini, seorang lagi pengamal perubatan tradisional dari Kuala Kurau, Parit Buntar di Perak, Raja Syed Sheikh Mohd. Sarip Al-Patani, 69, bersama rakannya, Syed Sheikh Abdul Mutalib Al-Habsyi, 46, menawarkan diri untuk memulihkan semula para pelajar dan persekitaran sekolah tersebut.

Bagaimanapun, menurut Raja Syed Sheikh Mohd. Sarip, kejadian histeria yang meresapi 35 pelajar di sekolah itu sukar diterima logik akal.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedang berusaha membuat ‘rundingan’ dengan makhluk halus yang dikatakan menjadi punca kejadian histeria di sekolah terbabit sejak 15 Mei lalu.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang memutuskan tidak akan menutup SMK Tanjung Lumpur ekoran kejadian gangguan histeria yang berlarutan itu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, adalah tidak adil untuk menutup sekolah tersebut memandangkan terdapat 796 pelajar lagi yang boleh meneruskan pelajaran seperti biasa tanpa mengalami sebarang gangguan histeria.

Kata beliau, jalan penyelesaian yang boleh dilakukan sekarang ini ialah memindahkan kesemua 35 pelajar terbabit ke sekolah lain.

Beliau percaya jika pelajar terbabit dipindahkan, gangguan histeria akan berakhir kerana sejak ia mula berlaku, hanya mereka yang sering diserang histeria secara berulang-ulang kali.

“Saya percaya jika mereka (mangsa) belajar di sekolah lain masalah tersebut dapat diselesaikan memandangkan histeria hanya terjadi di kalangan 35 pelajar ini sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat guru-guru di Jerantut hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berita muka depan Utusan Malaysia yang mencadangkan supaya sekolah itu ditutup bagi mengatasi masalah histeria yang berlaku terhadap pelajar terbabit yang dilihat tidak berkesudahan.

Abdul Aziz berkata, setakat ini, hanya enam pelajar yang sering mengalami gangguan histeria telah bertukar sekolah dan kini belajar di SMK Sungai Soi, manakala baki 29 pelajar masih belajar di sekolah itu.

Sehubungan itu, beliau merayu ibu bapa kepada 29 pelajar terbabit supaya menukarkan anak mereka ke SMK Sungai Soi atau mana-mana sekolah yang berdekatan sebagai jalan penyelesaian daripada mengambil keputusan menutup SMK Tanjung Lumpur.

“Setakat ini, ibu bapa pelajar berkenaan masih mahu anak-anak mereka terus belajar di SMK Tanjung Lumpur walaupun menyedari anak-anak mereka sering menjadi mangsa gangguan histeria

“Antara alasan yang diberikan ialah anak-anak mereka selesa belajar di sekolah berkenaan,” katanya.

Ditanya kerjasama pelbagai pihak menangani masalah itu, beliau berkata, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) melakukan pemantauan dari aspek psikosis, kemurungan, tekanan dan histeria, manakala Mufti Negeri Pahang serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pula menawarkan khidmat perubatan Islam bagi tujuan pemulihan.

Dalam pada itu, katanya lagi, daripada 35 pelajar yang sering diserang histeria, sembilan daripadanya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala dua lagi mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Justeru, katanya, pusat peperiksaan para pelajar terbabit akan dipindahkan ke sekolah lain.

Abdul Aziz turut mengesahkan seramai lapan pelajar perempuan diganggu histeria hari ini dan kesemua pelajar terbabit merupakan pelajar yang sama mengalami kejadian misteri itu sebelum ini.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment