26 August 2008

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh perlu beringat ada peruntukan untuk 'ulama jahat'

Sumpah Saiful: Mufti sangkal dakwaan Imam Masjid WP

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Dakwaan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi bahawa sumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak mengikut syariat adalah tidak berasas kerana dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana kitab.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, adalah menjadi kesalahan yang besar sekiranya seseorang memperkatakan mengenai hukum agama berlandaskan akal fikiran semata-mata.

“Ia tidak ada mana-mana rujukan, hanya berdasarkan pendapat peribadi dan ini salah besar... bercakap hal hukum berasaskan fikiran sendiri adalah kesalahan yang besar dalam Islam.

“Hukum ini (bersumpah) adalah hukum Allah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunah dan dihurai serta ditafsir dalam pelbagai kitab,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ramlang yang disiarkan beberapa laman web pro-pembangkang bahawa cara bersumpah Mohd. Saiful tidak boleh digunakan kerana tidak mengikut kaedah Islam.

Wan Zahidi berkata, Imam Ibnu Qayyim telah menjelaskan jika seseorang mahu memperkatakan mengenai hukum Islam, mereka mestilah bertanggungjawab terhadap Allah.

Katanya, bercakap mengenai hukum Allah dengan kepentingan lain selain daripada kebenaran adalah satu dosa yang amat besar.

“Malah dalam satu hadis ada diingatkan ‘sesiapa yang memberi fatwa dalam hal hukum tanpa merujuk kepada sumber ilmu yang muktabar, sedialah tempat (untuk mereka) dalam neraka’ kerana apa yang dicakapkan akan menjadi panduan masyarakat.

“Sebab itu apabila saya bercakap mesti ada kitab di depan saya. Tulisan saya ada rujukan, saya tak berani nak bercakap hatta melalui ingatan sahaja,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan rasa sangsi dengan kebolehan Ramlang memahami kitab-kitab fiqh kerana ia memerlukan latihan khusus dalam bidang itu.

Katanya, jika latar belakang pengkhususan seseorang imam itu adalah dalam bidang tajwid, dia tidak semestinya layak memperkatakan mengenai hukum.

Ditanya adakah tindakan Ramlang itu telah mengelirukan masyarakat, Wan Zahidi berkata: “Saya nampak begitulah, dia tidak membuat apa-apa rujukan dan saya sangsi beliau boleh baca kitab fiqh.”

Mengenai dakwaan Ramlang telah diarah pihak atasan untuk menghadiri majlis bersumpah pada 15 Ogos lalu, Wan Zahidi menjelaskan, ia adalah prosedur biasa dalam pentadbiran sesebuah masjid.

Katanya, sebarang majlis yang berlangsung di masjid memerlukan kehadiran pegawai bagi tujuan membuat laporan kepada pihak pengurusan.

Sementara itu, Wan Zahidi mengulangi pendirian bahawa sumpah yang dilafazkan Mohd. Saiful Bukhari sebagai harus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam sebagaimana pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya, Hasyiah l’anah al-Talibin.

Katanya, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau ‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan kedua, di luar perbicaraan.

“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri.

“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu ‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’,” katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment