26 August 2008

BPR sangat cekap dan pantas terhadap kes yang membabitkan pembangkang

BPR Akan Panggil Nallakaruppan Untuk Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan memanggil Datuk S. Nallakaruppan untuk memberi penjelasan mengenai dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation, semasa beliau (Nallakaruppan) ketika itu adalah pengarahnya.

Timbalan Ketua Pengarah I BPR Datuk Abu Kassim Mohamed berkata Nallakaruppan, yang pernah bersahabat baik dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dipanggil secepat mungkin memandangkan dakwaannya itu amat serius.

"Kami akan panggil beliau untuk memberi penjelasan mengenai dakwaannya itu, dan akan menasihatkan beliau supaya membuat laporan rasmi kepada kami. Kami perlu kumpulkan maklumat penting berhubung perkara ini.

"BPR hanya boleh mulakan siasatan sekiranya ada laporan, dan bukan menerusi khabar angin. Oleh itu kami mahukan beliau beri penjelasan kepada kami terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Kursus Persijilan Eksekutif bagi Pengurusan Strategik Program Anti Rasuah di sini hari ini.

Abu Kassim berkata agensi anti rasuah itu perlu melihat kepada pelbagai sudut dakwaan sebelum mengambil langkah seterusnya.

Ditanya sekiranya BPR akan memanggil pihak pengurusan Magnum Corp atau Anwar sendiri bagi membantu BPR berhubung perkara itu Abu Kassim berkata: "Jika perlu kami akan memanggil pihak-pihak lain yang berkaitan untuk memberi penjelasan. Semuanya bergantung kepada siasatan".

"Tapi ketika ini kami akan hanya memanggil Nallakaruppan bagi membantu. Kami juga akan dapatkan pengesahan mengenai pelbagai perkara sebelum mulakan siasatan," katanya.

Nallakaruppan dalam kenyataanya semasa di Bukit Mertajam dua hari lepas turut mendakwa Anwar meluluskan banyak lesen bagi perjudian semasa beliau (Anwar) menjawat jawatan Menteri Kewangan.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Abu Kassim menegaskan mengenai kepentingan membanteras gejala rasuah, kerana ia diperlukan bagi menjamin survival sesebuah kerajaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment