25 March 2008

Teori Jatuh Macam Nangka Masak

Ahmad Said tak akan jatuh macam nangka masak

kurang bersetuju dengan kenyataan Menteri Luar Dr Rais Yatim bahawa Menteri Besar pilihan Istana, Ahmad Said, akan jatuh macam nangka masak sekiranya dia terus sebagai MB.

Maaf, saya tidak setuju dengan pendapat mantan bos saya itu kerana ada beberapa fakta yang tidak dinyatakan oleh semua orang yang menentang keputusan Istana Terengganu. Mereka dengan begitu mudah memberi alasan dan sebab musebabnya berlandaskan undang-undang tetapi tidak merangkumi sepenuhnya.

Alasan paling kukuh yang diutarakan oleh mereka ialah Ahmad Said tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu. Sandiwara sokongan 22 ADUN yang diketuai oleh mantan MB Idris Jusoh melalui Rosol Wahid belum pasti kekal.

Sokongan sedemikian juga tidak memberi erti kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) belum bersidang. Hanya melalui persidangan DUN dapat ditentu dan disahkan sama ada Ahmad Said mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Sokongan yang dihebohkan di luar DUN tidak memberi apa-apa kesan sama sekali. Ini adalah kenyataan.

Apa sahaja boleh berlaku menjelang persidangan DUN. Setakat inipun sudah timbul khabar berita yang 13 daripada ADUN yang kononnya menyokong Idris Jusoh telah berpaling kepada Ahmad Said dan akan menyokong keputusan Istana.

Tiada halangan untuk Ahmad Said mengangkat sumpah jawatan dan beliau mempunyai masa yang cukup untuk menyatukan tenaga dan kekuatan sebelum memanggil DUN bersidang. Dalam tempoh itu beliau boleh mendapat sokongan majoriti untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.

PAS pun sudah menyatakan sokongan kepada kebijaksanaan Istana melantik Ahmad Said sebagai MB. PAS tahu apa yang dilakukan oleh Idris semasa menerajui Kerajaan Negeri. PAS juga tahu peranan JE Terengganu.

Oleh itu, Ahmad Said tidak akan jatuh macam nangka masak ataupun nangka busuk. Sebaliknya beliau akan berdiri megah dan gagah sebagai seorang pemimpin yang tidak lari daripada amanah, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh Istana dan rakyat Terengganu.

Saya yakin 'tindakan pihak-pihak tertentu' membabitkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam kemelut politik Terengganu juga akan gagal.

http://kudaranggi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment