26 March 2008

Tahniah MB Perak, Biar Kita Sendiri Pilih Ketua Kampung

Undi pilih ketua kampung di Perak

Video : Kawan, kawan juga, Bola tetap Lawan... Perak tewas kepada Kedah

Kerajaan baru Perak, yang diketuai menteri besar PAS Mohamad Nizar Jamaluddin, akan memperkenalkan sistem pengundian di kalangan penduduk untuk memilih ketua kampung.

Menurut Mohamad Nizar, sistem seumpama itu pernah diperkenalkan dan Perak kali ini akan menggunakan kaedah tersebut bagi memilih ketua di 817 kampung.

Pengumuman itu dibuat pada sidang akhbar selepas perjumpaan beliau dengan ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Ipoh hari ini.

Menurut Bernama, acara itu adalah majlis rasmi sulung selepas beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar 17 Mac lalu.

Mohamad Nizar berkata, sistem pelantikan seperti yang diamalkan kini telah menimbulkan krisis di peringkat akar umbi masyarakat apabila "calon-calon yang dikehendaki penduduk tidak lagi terpilih atau nama itu dihilangkan."

Kerajaan negeri dilaporkan merancang memperkenalkan kaedah baru itu secara rasmi selepas tempoh jawatan ketua-ketua kampung
sedia ada tamat pada 31 Dis depan.

Beliau menambah, semua 31 wakil rakyat DAP, PKR dan PAS bersetuju mengembalikan hak penduduk memilih ketua mereka sendiri.

"Kita setuju beri hak pilih siapa jadi ketua kepada penduduk... mereka boleh pilih sendiri ketua kampung, imam dan jawatankuasa masjid," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menambah beliau gembira dengan kehadiran lebih 300 ketua kampung di majlis itu walaupun ada laporan menyebut acara itu diboikot oleh Pertubuhan Ketua-ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP).

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment