27 March 2008

Singapura henti operasi, gagal temui Mas Selamat

SINGAPURA 26 Mac – Pasukan keselamatan Singapura akan menghentikan operasi besar-besaran memburu ketua Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari yang bolos dari tahanan sebulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Wong Kan Seng hari ini berkata, pasukan keselamatan akan mula melakukan pemeriksaan mengikut sasaran dan fokus tertentu berdasarkan maklumat perisikan khusus.

Beliau tidak memberi sebab di sebalik perubahan taktik itu.

Bagaimanapun operasi besar-besaran untuk menjejaki Mas Selamat dipercayai telah menelan kos yang besar.

Pasukan polis, anggota operasi khas, askar dan pengawal elit Gurkha telah menjalankan pemeriksaan rapi di kawasan hutan republik ini sejak Mas Selamat lepas dari penjara kawalan ketat pada 27 Februari lalu dalam insiden yang memalukan pihak berkuasa Singapura.

Kawalan keselamatan juga diketatkan di pintu sempadan darat, laut dan udara.

Kan Seng berkata, sungguhpun kerahan besar-besaran pasukan keselamatan itu telah ditarik balik, “mereka masih diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan apabila perlu.”

Menurut beliau, pihak berkuasa percaya Mas Selamat masih berada di republik ini dan mereka telah mendirikan pusat pengawasan tepi pantai untuk memastikan dia tidak meninggalkan negara ini.

Mas Selamat, 47, didakwa berkomplot untuk merampas sebuah pesawat dan menggunakannya untuk merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini.

– AP

No comments:

Post a Comment