31 March 2008

Isu Yahudi ke Malaysia

Kerajaan masih timbang benarkan Chelsea beraksi


KUALA LUMPUR 31 Mac – Kerajaan belum membuat keputusan membenarkan pasukan bola sepak Chelsea yang turut disertai dua rakyat Israel beraksi pada perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan di sini pada 29 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan yang bakal diambil perlu mengambil kira peraturan yang melarang lawatan rakyat negara itu ke Malaysia.

``Kita kena mengkaji perkara ini terlebih dahulu. Saya tidak pasti apakah keputusan yang akan dibuat, tetapi adalah menyedihkan apabila politik dicampur aduk di dalam sukan.

``Saya suka melihat Chelsea beraksi di Malaysia walaupun ia bukan pasukan yang saya minati memandangkan saya ini penyokong kuat Manchester United,'' ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan prospektus Dayang Enterprise Holdings Berhad di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Juara Liga Perdana England (EPL) musim 2004/2005 dan 2005/2006 itu ke Malaysia dalam siri Jelajah Asia.

Dua rakyat Israel itu ialah pengurus pasukan, Avram Grant dan pemain pertahanan, Tal Ben Haim.

Sebelum ini, Malaysia pernah membenarkan kemasukan pasukan kriket Israel menyertai Kejohanan Trofi Persatuan Kriket Antarabangsa (ICC) pada 1997.

Tambah Najib, kedatangan pasukan Chelsea berkenaan adalah baik untuk perkembangan bola sepak tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan tidak bercadang membenarkan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe mendapat perlindungan di Malaysia setelah parti beliau dikatakan kalah dalam pilihan raya negara itu.

`` Tidak... tidak ada perkara seperti ini,'' kata Najib.

Semalam, pembangkang yang diketuai bekas pemimpin kesatuan sekerja, Morgan Tsvangirai mendakwa mencapai kemenangan berdasarkan keputusan awal pilihan raya bagi menyingkirkan Mugabe yang berkuasa selama 28 tahun.

Mugabe mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Malaysia berikutan penglibatan aktif beliau dalam Dialog Antarabangsa Langkawi (LID). – Utusan.

No comments:

Post a Comment