27 March 2008

Ghapur Letak Jawatan Timbalan Menteri

TAWAU, 27 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Ghapur Salleh meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkuatkuasa semalam.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya malam tadi.

Ghapur, yang menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, berkata beliau akan terus menjadi wakil rakyat dan Ketua Umno Bahagian Kalabakan.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan itu selepas lapan hari menerima pelantikan itu, Ghapur berkata :"Saya tidak mahu terikat dengan tugas sebagai timbalan menteri kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada penduduk di Kalabakan."

Ghapur, 64, berkata beliau mempunyai ramai anak yang menuntut di luar negara dan sekiranya terikat dengan tanggungjawab sebagai timbalan menteri ini akan membatasi waktu untuk beliau melawat anak-anaknya.

Beliau merupakan Anggota Parlimen kedua dari Sabah dan orang ketiga yang melepaskan jawatan timbalan menteri pusat setelah pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sejurus selepas Abdullah mengumumkan barisan kabinet pada 18 Mac, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, manakala Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar menolak jawatan Timbalan Menteri Luar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment