29 March 2008

Gerila tawan dua bandar -- * Iraq semakin panas * Perintah berkurung di Baghdad

BAGHDAD 28 Mac – Konflik di Basra semakin memuncak apabila anggota gerila Tentera Mahdi pimpinan ulama Syiah, Moqtada al-Sadr hari ini bertindak menawan sebahagian bandar Nassiriya.

Menurut saksi, pejuang Syiah juga menawan bandar Shatra yang terletak kira-kira 40 kilometer ke utara Nassiriya.

Mereka juga dilaporkan mula bergerak memasuki kota Baghdad, ketika kerajaan pimpinan Perdana Menteri Nuri al-Maliki berusaha menamatkan gelombang keganasan tersebut.

Pertempuran juga merebak ke bandarbandar lain di selatan seperti Kut, Hilla, Diwaniya, Amara dan Karbala serta 13 lagi kawasan berhampiran Baghdad yang didominasi puak Syiah.

Sementara itu, jurucakap tentera Britain berkata, tentera pakatan asing telah melancarkan serangan bom ke atas pejuang Syiah di Basra, malam tadi.

Serangan itu yang menyasarkan kedudukan strategik pihak musuh, adalah yang pertama selepas pihak berkuasa Iraq melancarkan operasi ketenteraan Selasa lalu.

Dalam pada itu, pejabat Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi digegarkan oleh satu serangan mortar menyebabkan seorang pengawal keselamatan terbunuh.

Semalam, kerajaan mengenakan perintah berkurung selama tiga hari dalam usaha menamatkan keganasan di Basra yang semakin merebak dan meragut lebih 150 nyawa setakat ini.

Nuri al-Maliki yang sebelum ini memberi tempoh 72 jam kepada Tentera Mahdi supaya menyerah diri dan meletakkan senjata, telah melanjutkan tempoh tersebut sehingga 8 April ini.

Beliau turut menawarkan ganjaran dalam bentuk wang tunai kepada pejuang Syiah yang menyerah diri dan meletakkan senjata dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, para pemimpin Iraq mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi mencari penyelesaian untuk menamatkan keganasan tersebut.

“Kami telah menilai keadaan di Basra dan bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keadaan di sana dan cara menyelesaikannya,” kata Speaker Parlimen, Mahmoud Mashhadani.

Keganasan tercetus Selasa lalu selepas pihak tentera melancarkan serangan ke atas puak Syiah yang juga pengikut setia Moqtada.

Menurut Mahmoud, wakil dari puak Syiah dan Sunah di Parlimen, termasuk pengikut setia Moqtada, turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Moqtada merupakan pemimpin yang membantu Nuri mendapat kuasa selepas pilihan raya 2005 lalu tetapi akhirnya bertelagah dengan Perdana Menteri itu.

Pemimpin Tentera Mahdi itu sebelum ini meminta kerajaan mengadakan rundingan tetapi Nuri bersumpah akan menentang kumpulan berkenaan yang disifatkannya sebagai penjenayah di Basra.

Semalam, puluhan ribu penyokong Moqtada berarak di Baghdad dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran bagi menuntut peletakan jawatan Nuri yang mendapat sokongan Washington.

Tunjuk perasaan turut diadakan di wilayah Kadhimiya dan Shula yang disifatkan antara terbesar pernah dihadapi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu.

Gelombang keganasan terbaru itu dibimbangi akan menjejaskan usaha membawa keamanan di rantau berkenaan.

– Reuters

No comments:

Post a Comment