26 March 2008

Bank Negara bekukan aset syarikat, pelanggan tuntut wang

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Sejumlah 28,000 pelanggan Syarikat Hitech Objective Entreprise (HTO) menuntut agar wang langganan dan keuntungan mereka dikembalikan dengan segera setelah Bank Negara membekukan aset syarikat terbabit pada September tahun lalu.

Pembekuan aset syarikat yang memperkenalkan skim perkhidmatan urusniaga langganan telefon kad pra-bayar sejak dua tahun itu telah dikatakan menjalankan perniagaan menyalahi Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Menurut jurucakap para pelanggan terbabit Mohamad Afsoor Abdul Aziz, 40 memberitahu kesemua yang melanggan skim khidmat syarikat itu tidak mengetahui status wang langganan mereka yang akhirnya mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Lebih memburukkan keadaan katanya, syarikat itu telah menutup operasi dan pejabatnya yang beralamat di Jalan Tun Ali, Melaka sejak dikenakan tindakan daripada Bank Negara dan mengundang masalah kepada para pelanggan untuk menuntut wang.

"Kenapa Bank Negara mengambil selama dua tahun untuk mengenakan tindakan membekukan aset syarikat jika sudah diketahui ianya menjalankan perniagaan secara tidak sah mengikut Bafia?" katanya ketika hadir di Pejabat Harakah bersama sembilan pelanggan yang lain.

"Akibatnya kami yang menanggung kerugian yang begitu banyak dan bagaimana nasib kami selepas ini?" katanya.

Seorang pelanggan Rosni Ariffin 42, menjelaskan syarikat terbabit pada awalnya telah memberi pulangan keuntungan kepadanya setiap bulan tetapi telah menghentikan pemberian itu sejak aset dibekukan oleh Bank Negara.

Katanya, seorang yang ingin melanggan skim khidmat syarikat itu perlulah membayar sejumlah wang langganan seminima RM70.00 dan akan diberi satu kad pra bayar sejumlah RM10.00 serta bonus sejumlah RM30.00.

Pada setahun langganan, pelanggan terbabit memperolehi keuntungan sejumlah RM290.00 tanpa perlu mencari pelanggan baru namun jika mahu mendapat imbuhan berganda, maka pelanggan perlu mengeluarkan modal yang besar,katanya.

Beliau yang hadir sama menyatakan telah menyertai skim perkhidmatan syarikat terbabit dengan modal wang sejumlah RM40,000.

"Seorang guru dilaporkan telah menyertai dengan modal RM200,000 dan keesokannya tidak mendapat sebarang keuntungan kerana Bank Negara telah membekukan aset syarikat HTO.

Ada antara pelanggan yang telah membuat pinjaman bank, koperasi dan membuat cagaran tanah (refinancing) bagi menyertai skim peerkhidmatan itu dan ini memberi kesan terhadap kos beban hidup mereka jika wang mereka tidak dipulangkan, kata Rosni.

Dalam pada itu Afsoor memberitahu terdapat dua laporan polis telah dibuat berhubung isu pemulangan wang itu di Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah, Melaka pada Januari lalu.

"Kami masih menanti syarikat itu mahupun Bank Negara untuk memulangkan wang kami, jika tidak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit bagi memastikan hak kami dikembalikan," katanya.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment